I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, 29 May 2010

Tata-Sussy-Laa

Adakah pengecualian terhadap tatasusila dan adab yang baik?

Secara umum, masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, dengan pelbagai adat resam serta latarbelakang budaya merupakan masyarakat yang amat kuat dengan pegangan budaya dan adat resam kaum masing-masing.

Di dalam aspek budaya, kita tidak nafikan bahawasanya secara umum, semua kita, sama ada bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli mahupun ras dan suku kaum lain sememangnya diajar dengan adab sopan dan susila yang baik sejak kecil lagi.

Nilai-nilai murni seperti menghormati tetamu, orang yang lebih tua serta jiran tetangga merupakan nilai-nilai universal dalam skop adat resam serta amalan kebudayaan mahupun keagamaan setiap kaum.
Masyarakat Melayu misalnya berpaksikan kepada Islam sebagai tanda aras adat resam dan budayanya sememangnya mementingkan adab sopan atas dasar yang mana junjungan besar Islam Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda dengan membawa maksud: "Sesungguhnya Baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia di kalangan manusia."

Dan sememangnya mesej ini serta prinsipnya menjadi amalan di kalangan orang-orang Melayu yang beragama Islam. Di kalangan masyarakat lain di dalam negara kita ini juga, masing-masing juga turut mempunyai adat resam, tatasusila dan budaya yang tentunya menjurus ke arah ahli masyarakat itu melaksanakan kebaikan dan menghindar keburukan bukan sahaja untuk dirinya, malah untuk sekelian anggota masyarakat.

Secara umumnya, nilai-nilai murni ini sememangnya menjadi amalan segenap masyarakat kita, dan saya merasakan ia adalah antara faktor utama yang menyebabkan negara kita, yang pelbagai kaum, bangsa dan fahaman serta latar belakang sosio-ekonomi serta berbekal dengan kestablilan politik yang ada mampu hidup dalam keadaan yang aman, damai dan makmur.

Toleh sahaja ke utara dan mungkin permasalahan yang berlaku di Bangkok ketika ini boleh menjadi iktibar.
Namun, apa yang saya kesalkan adalah; walaupun kita sebagai masyarakat yang berbilang kaum ini sejak kecil lagi dididik dengan nilai - nilai universal yang baik melalui peradaban bangsa dan kaum kita sendiri seperti hormat-menghormati, semangat kejiranan serta adab pertuturan dan resam yang tinggi, saya dapati terdapat beberapa situasi yang mana masyarakat kita “mengecualikan” amalan-amalan serta sikap - sikap baik ini.

No comments:

Post a Comment